“Wahai ‘Uqbah, mahukah engkau aku
beritahu akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling mulia? Iaitu, menyambung
silaturahim dengan orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang tidak
mahu dan tidak pernah memberimu, memaafkan orang yang pernah menzalimi dan menganiayamu.”
(Hadis Riwayat Hakim)
Pemaaf adalah sikap suka memberi maaf terhadap kesalahan orang lain tanpa
ada sedikit pun rasa benci dan dendam di hati. Sifat pemaaf adalah salah satu
manifestasi daripada ketakwaan kepada Allah.
Sebagaimana firman-Nya,
“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan
Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan
untuk orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya)
baik pada waktu lapang mahupun pada waktu sempit, dan orang-orang yang menahan
amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Dan Allah menyukai orang-orang yang
berbuat kebajikan.”
(Ali Imran 3:133-134)
Islam mengajar umatnya untuk bersikap pemaaf dan suka memaafkan kesalahan
orang lain tanpa menunggu permohonan maaf daripada orang yang berbuat salah
kepadanya. Tidak ditemui satu ayat yang menganjurkan untuk meminta maaf, tetapi
yang ada ialah perintah untuk memberi maaf.
Ada kalanya
seseorang berbuat salah dan menyedari kesalahannya serta berniat untuk meminta
maaf, namun ia terhalang oleh hambatan psikologi untuk menyampaikan permintaan
maaf. Apatah lagi jika orang itu merasa status sosialnya lebih tinggi daripada
orang yang akan diminta maafnya. Contohnya seorang pemimpin kepada orang yang
dia pimpin, orang tua kepada anaknya, atau yang lebih tua kepada yang lebih
muda. Barangkali, itulah salah satu hikmah kenapa Allah memerintahkan kita
untuk memberi maaf sebelum diminta maaf itu.
Memberi maaf haruslah disertai dengan ketulusan hati dan berlapang dada,
sehingga tidak tersisa rasa dendam atau keinginan untuk membalasnya. Allah
berfirman dalam surah an-Nur ayat 22:
“Dan janganlah orang-orang yang
mempunyai kelebihan dan kelapangan antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak)
akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan
orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan hdndaklah mereka memaafkan dan
berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Berlapang dada dalam bahasa Arab disebut as-safhu
yang secara etimologinya bererti lapang. Halaman pada buku dinamai safhah kerana kelapangan dan
keluasannya. Dari sini as-safhu
dapat diertikan sebagai kelapangan dada. Berjabat tangan dinamai musafahah, kerana melakukannya bererti
berkelapangan dada.
Diibaratkan kita tersalah sewaktu menulis di sebuah lembaran kertas,
kesalahan itu kita padam dengan alat pemadam. Dengan apapun kita menghapusnya,
tentu akan meninggalkan kesan, bahkan barangkali kertas tersebut menjadi robek.
Justeru, supaya lebih bersih dan rapi, kertas yang terdapat kesalahan
tulisan padanya itu diganti saja dengan lembaran yang baru. Memaafi diibaratkan
menghapus kesalahan pada kertas, sedangkan berlapang dada diibaratkan mengganti
lembaran kertas yang salah dengan lembaran yang baru.
Rasulullah s.a.w., pemilik akhlak yang paling mulia, dengan keagungan
akhlaknya telah memberikan suri teladan kepada umatnya. Antaranya ialah sikap
pemaaf. Salah satu sikap pemaaf baginda dapat kita semak dalam kisah ini:
Dalam peperangan Khaibar, Zainab binti al-Haris, iaitu isteri Salam bin
Miskan, salah seorang pemuka Yahudi, memberikan hadiah kambing bakar yang telah
matang kepada Rasulullah s.a.w. Zainab bertanya kepada Rasulullah tentang
anggota badan kambing yang disukai baginda, lalu ada yang menjelaskan kepadanya
bahawa yang disenangi Rasulullah adalah paha kambing.
Zainab pun membubuh racun sebanyak-banyaknya pada paha kambing dan
menghidangkannya kepada Rasulullah. Rasulullah s.a.w. mengambil sedikit daging
paha kambing tersebut dan mengunyahnya, tetapi tidak menyukai rasanya.
Bisyar al-Barra’ bin Ma’ruf yang saat itu bersama Rasulullah s.a.w. ikut
menyantap daging paha kambing tersebut. Rasulullah memuntahkan kembali daging
kambing yang beliau kunyah, kemudian berkata: “Sesungguhnya tulang ini memberi
tahu kepadaku bahawa dia diberi racun.”
Zainab dipanggil dan ditanya tentang hal tersebut, dan dia pun mengakui
perbuatannya. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Zainab tentang perbuatannya
itu. Zainab menjawab, “Engkau tahu bagaimana engkau telah menakluki kaumku,
lalu terlintas di hatiku untuk mengujimu dengan racun itu. Jikalau Muhammad
seorang raja, maka aku akan aman daripada tindakannya (mati lantaran memakan
daging paha kambing yang telah diberi racun), dan jikalau dia memang seorang
nabi, tentu dia akan diberitahu (tentang daging yang beracun itu). ” Lalu
Zainab dimaafkan oleh Rasulullah s.a.w., sedangkan Bisyar al-Barra’ yang telah
memakannya, meninggal dunia.
Sebenarnya pengakuan Zainab hanya dusta belaka. Dia benar-benar berniat
untuk berbuat jahat terhadap Rasulullahs.a.w. Walaupun demikian, niat jahatnya
itu telah diampuni oleh Rasulullah berkat sifat pemaafnya dan kelapangan
dadanya.
Kisah di atas adalah satu daripada sekian banyak kisah tentang keluhuran
budi pekerti dan akhlakul karimah yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w.
Betapapun besarnya kezaliman yang dilakukan ke atas diri baginda, tidak sedikit
pun baginda menaruh benci, apatah lagi dendam untuk membalasnya. Bahkan pintu
kemaafan selalu baginda buka dengan lebar bagi siapa saja yang bermaksud untuk
berlaku jahat dan menganiaya baginda.
Perlu disedari, bahawa di dunia ini tidak ada seorang pun yang tidak pernah
berbuat kesalahan. Maka hal yang terbaik bagi setiap diri adalah menyedari akan
kesalahan yang pernah dilakukannya, kemudian bersegera untuk memohon maaf atas
kesalahannya itu.
Jika kesalahan itu terhadap Allah s.w.t., maka bersegeralah memohon
keampunan-Nya. Dan jika kesalahan itu terhadap sesama manusia, maka
bersegeralah meminta maaf daripadanya.
Paling
utama adalah jika ada yang pernah berbuat kesalahan terhadap kita, maka
maafkanlah kesalahannya, sekalipun orang yang berbuat kesalahan itu tidak
pernah memohon maaf daripada kita. Kerana ketahuilah, bahawa dengan begitu
rahmat Allah akan senantiasa meliputi kita. Allahu a’lam.
No comments:
Post a Comment